Saturday, April 11, 2015

Ulasan Buku: "Aku Kafir, Kau Siapa?" - Ooi Kok Hin

Aku malas membaca apalagi kalau buku itu tebal dan 'berat'. Bukan berat di tangan tapi berat di kepala. Tapi aku juga bukan penggemar novel picisan yang menghiasi senarai bestseller kedai-kedai buku popular.

Pagi tadi aku ronda-ronda di Bandar Ilmu. Hidup tanpa kereta macam patah kaki. Paksa diri menapak dua tiga bangunan dari tempat aku menginap. Pusing keliling bangunan, ingat nak masuk shopping, tapi pasaraya masih belum buka. Terlalu awal untuk berniaga walaupun memang peniaga rata-rata tamak laba. Nampak kedai buku aku cuba jenguk. Berlainan sekali dari yang lain. Semua buku dalam bahasa kebangsaan dengan genre dan gaya bahasa yang pelbagai. Ada yang dikarang dalam bahasa sastera tinggi dan ada juga guna bahasa separuh mencarut. Tapi tak mengapa. Misinya bukan memertabatkan bahasa. Menggunakan akronim yang sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit DuBook Press dengan nada sindiran berkata mereka menerbitkan buku kerana kecewa dengan DBP yang buku-bukunya hidup segan mati tak mahu. Sebaliknya, agenda mereka adalah agenda perut. Terus terang mereka jelaskan bahawa misi mereka nak buat duit, bukan agensi mengangkat bahasa kebangsaan. Tiada bantuan kerajaan, hanya initiatif anak muda untuk cari makan.
Menariknya, aku juga nampak kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di blok seberang jalan tapi masih belum buka.

Berdasarkan tinjauan ringkas aku di kedai kecil itu mereka cuba menghidangkan sesuatu untuk memenuhi selera anak muda dan budak-budak indie yang selalu mengomen di alam siber. Penulis-penulis mereka dari generasi anak aku. Tiada nama penulis besar. Mengikut penerbitnya semua orang dialu-alukan untuk menjadi penulisnya. Tukang sapu, cikgu sekolah rendah, drebar bas sekolah, dan mat rempit sekalipun boleh menghantar manuskrip mereka untuk dipertimbangkan.

Tertarik dengan judul buku yang catchy "Aku Kafir, kau siapa?" oleh Ooi Kok Hin, aku membaca beberapa helaian di bahagian depan, tengah dan kulit belakang. Aku terus beli. Ringan harga, ringan dibawa dan santai dibaca walaupun isu yang dibincangkan adalah serius dan relevant dengan masyarakat majmuk Malaysia hari ini. Penulis adalah neutral agama (agnostik) walaupun isu agama dibincang di merata tempat dalam esei-esei yang dibahagikan dalam 3 kategori - Pendidikan, Agama dan Kebebasan, Politik.

Di bahagian Pendidikan, umumnya penulis meluahkan perasaan tertindas kaum Cina di Malaysia dengan sistem pendidikan negara. Baginya tidak adil sekolah vernikular dimansuhkan jika sekolah agama masih wujud dan sekolah kebangsaan makin bertambah Islamik. Kaum bukan Muslim tidak gemar ke sekolah kebangsaan kerana kualitinya merosot dan terlalu Malay centric. Penulis mengalami zaman persekolahan yang berbeza dari kebanyakan rakan sekaumnya kerana belajar di sekolah kebangsaan, kemudian Penang Free School dan kemudian kolej matrikulasi. Penulis bergaul dengan rakan sekelas Melayu dan India semasa di sekolah. Penulis menyertai kumpulan anak-anak muda yang membentuk kumpulan Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM). Kumpulan ini menegaskan bahawa sekolah tidak harus menjadi penjara kreativiti dan universiti bukan kilang. Produk yang dihasilkan bukan robot atau ayam daging yang digemukkan sementara menunggu hari untuk disembelih dan dinikmati dagingnya.

Di peringkat tinggi, penulis berpendapat bahawa kebebasan berkarya di universiti termasuk penglibatan dalam politik harus dibenarkan supaya mahasiswa dekat dengan isu masyarakat luar dan bertindak menyuarakan isu rakyat kepada pemerintah.Pelajar juga perlu ambil tahu tentang politik walaupun bukan semua bercita-cita jadi ahli politik. Politik adalah kehidupan dan ia boleh mempengaruhi banyak hal di sekeliling kita.

Di dalam bahagian Agama, penulis yang agnostik ini menyokong liberalisme dan kebebasan beragama. Isu hukum hudud dan campur tangan agama dalam politik turut disentuh termasuk beberapa sketsa satira dengan watak-watak fiksional ahli politik tanahair berbual dan berhujah dengan ahli falsafah purba Socrates dan Plato.

Mungkin inilah buku yang pertama dalam sejarah yang aku baca dari kulit depan ke kulit belakang dalam masa satu hari. Kalau anda berminat dengan isu-isu masyarakat majmuk Malaysia tempias politik tak dapat dielak sebab politik melibatkan kuasa membuat dasar. Jika kita tak pedulikan politik bermakna kita tak kisah orang politik tentukan nasib dan masa depan kita. Kalau ramai orang cerdik menghindari politik, kita akan dapat pemimpin yang bangang. Dan pemimpin yang cetek akal akan mengambil orang bodoh sebagai pak turut. Yang cerdik dan pandai berhujah dengan mereka akan dihumban dalam penjara atau mereka sendiri yang memilih untuk berhijrah ke luar negara. Jadi kalau anda rasa loya dengan novel-novel Melayu popular dengan cerita CEO Melayu berusia 20an yang banyak bergelumang dengan cinta, hasad dengki dan syok sendiri dari bercakap soal bisnes, ayuh baca buku terbitan syarikat ini. Pada saya buku ini berjaya membawa beberapa isu berat dengan gaya bahasa ringan, tidak terlalu akademik dan sesuai dibaca untuk relaks minda.

www.dubookpress.com

No comments: