Monday, May 26, 2008

Ulasan Buku: Kekasih Sam Po Bo – Faisal Tehrani (2007)

Buku ini adalah salah satu kumpulan cerpen yang dihasilkan oleh Penerima Anugerah Seni Negara, Faisal Tehrani. Di dalamnya termuat 30 cerpen yang membawa berbagai tema dan latar. Memang boleh dikatakan semua 30 ceritera yang dihidangkan oleh Faisal adalah unik dan berisi. Semuanya membawa mesej yang tersendiri, mengupas isu penting Masyarakat Islam-Melayu di Malaysia dan cuba menawarkan suatu penawar kepada masalah muslim sejagat. Antara yang paling saya minati ialah Bulan Mengambang Di Langit KL, Setelah Diciptakan Adam…, Sultan Alauddin Belajar Tasawuf dan Nenek Negro di Kota Mekah.

Suatu tema yang amat kerap dibawa oleh Faisal ialah Islam dan sejarah. Saya amat mengkagumi pengetahuan beliau terhadap Islam dan sejarah. Penulisannya menggambarkan lautan pengetahuan beliau yang dalam mencakupi bidang ilmu Islam, falsafah, sejarah dan politik semasa. Beliau merupakan seorang penulis sepenuh masa yang saya anggap berjaya dan telah menghasilkan lebih 10 buah novel dalam usia baru 34 tahun. Anak muda lulusan bidang pengajian syariah dan sastera ini juga menjadi penceramah sastera dan penyelidik dan sekarang sedang berjuang di bidang akademik untuk menghabiskan PhD. Beliau pernah mendapat bimbingan SN A Samad Said dan SN Shahnon Ahmad. Pandangan politiknya mungkin tidak sehaluan dengan sesetengah orang tetapi beliau berjaya mengemukakan bukti terhadap setiap apa yang dipegangnya. Mungkin kita tidak bersetuju dengan hujahnya tetapi kaedah dan rujukannya kukuh dan jitu.

Novel-novelnya bukan novel picisan cinta remaja yang berlambakan di kedai buku, tetapi sarat mengandungi persoalan yang dianggap berat. Kisah kembaranya padat dengan pencerahan diri serta penghayatan nilai-nilai sejarah dan pengajaran daripadanya. Daya imaginasinya yang cukup luas dan pelbagai itu lincah menerobos dunia di sekelilingnya.

Buku koleksi cerpen dan novelnya agak susah didapati di kedai buku tetapi senang dipesan di kedai maya Internet. Tinjauan saya di beberapa kedai buku hanya membawa saya kepada buku-buku cinta remaja yang saya rasa sudah melepasi waktu untuk orang seperti saya. Di perpustakaan juga saya tidak menemui buku-bukunya. Namun di dunia siber beliau cukup popular dengan laman sesawangnya iaitu tehranifaisal.blogspot.com.

26-5-2008