Sunday, June 08, 2008

Ulasan Buku: Tuhan Manusia – Faisal Tehrani (2007)

Novel ini adalah novel yang bukan novel. Kenapa saya berkata begitu? Sebenarnya novel ini adalah sebuah perbincangan tentang agama dan kelahiran golongan liberal di kalangan penganut Islam. Ia hanya diolah menjadi novel dengan menyelitkan sedikit kisah dan watak-watak supaya menjadi sebuah cerita. Namun lebih 90 peratus isinya adalah fakta-fakta agama, sejarah, falsafah dan ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis. Jika tiada diselang-selikan dengan cerita, watak dan dialog, ia akan menjadi hambar dan mungkin tidak ramai yang akan membacanya.

Novel ini menyelam dalam ke lubuk masalah yang menimpa sebahagian umat Islam terpelajar di Malaysia di mana mereka lebih cenderung kepada ajaran yang dilabelkan sebagai Islam liberal. Golongan ini adalah golongan yang terdidik dengan asuhan dan pandangan yang mengatakan bahawa semua agama adalah benar dan Islam hanyalah salah satu daripadanya. Watak utama novel ini dijelmakan dalam diri Ali Taqi, seorang remaja Islam yang pintar dan amat sedar dengan masalah Islam liberal kerana abangnya sendiri, Talha menjadi murtad selepas dipengaruhi Encik Aris, seorang intelek yang memperjuangkan Islam liberal. Bapa Ali, Mohamad menjadi seorang pendiam akibat teramat sedih setelah anaknya sendiri murtad. Watak Talha tidak banyak diceritakan, malah disentuh sedikit sahaja. Talha hanya wujud dalam dialog Ali Taqi dan watak-watak lain di dalam novel ini.

Kisah berkisar sekitar perbincangan intelektual Ali Taqi dan kawan-kawan sekolahnya tentang Islam, sejarahnya, falsafah dan hubungannya dengan agama lain. Keseluruhan dialog mereka adalah selang-seli antara ayat al-Quran dan kupasannya serta fakta-fakta sejarah Islam yang diolah lancar dalam perbualan dan perdebatan yang dipaparkan di dalam cerita ini. Cerita ini juga mengemukakan watak Andrew Tse, kawan karib sekampung Ali Taqi yang akhirnya memeluk Islam kerana terpesona dengan keindahannya.

Walaupun watak utama ialah seorang remaja namun soal cinta remaja disentuh sedikit sahaja. Zehra, anak intelektual Islam liberal Encik Aris, jatuh hati dengan Ali Taqi. Mereka selalu berbahas dan berbincang tentang Islam liberal di dalam pertemuan mereka. Zehra banyak mengajukan soalan seakan menguji pengetahuan dan hujah-hujah Ali Taqi yang mengganggap Islam liberal adalah suatu barah yang merosakkan umat Islam. Hubungan mereka tidak mekar kerana Ali Taqi tidak boleh menerima orang yang menganut Islam liberal. Kesudahannya berakhir dengan mereka menuju laluan hidup yang berbeza; Ali Taqi kemudiannya menjadi professor ilmu Islam dan falsafah dan watak Zehra tidak diceritakan dengan jelas laluan hidupnya.

Buku ini sarat dengan kupasan ayat al-Quran, hadis, sejarah Islam dan pertentangan dengan dunia Barat. Ia ditulis pada tahun 2007 di mana isu murtad dan penghakiman Lina Joy diperkatakan dengan hebat di laman-laman perbincangan Internet. Saya berpendapat, watak Encik Aris dan Talha mewakili golongan cendikiawan Muslim yang membela Lina Joy, IFC dan isu-isu sepertinya manakala watak Ali Taqi adalah mewakili sebahagian besar Muslim yang berada di pihak yang menentang. Novel ini mengambil persamaan dari apa yang berlaku di dalam hubungan Muslim dan non-Muslim di Malaysia. Ia berhujah membela pihak yang menganggap Islam liberal adalah ancaman kepada keharmonian umat Islam di Malaysia. Sebagai seorang yang berpendidikan bidang syariah Islam, Faisal Tehrani sememangnya dididik dengan pandangan sedemikian.

1 Jun 2008.