Saturday, April 21, 2007

Komen terhadap emel "Mekah dan Las Vegas..."

"Makkah sekarang sudah seperti Las Vegas”. Mungkin tajuk emel itu tidak sesuai kerana kota suci Mekah diletakkan seolah-olah sama dengan Las Vegas. Semua orang tahu bahawa Las Vegas adalah ibukota judi dan maksiat dunia sementara Mekah dianggap oleh orang Islam sebagai kota suci mereka. Namun saya percaya apa yang ingin disampaikan oleh penulisnya adalah untuk membuka mata umat Islam semua bahawa mereka sedang diulik lena dengan kesenangan dunia di tempat yang paling suci bagi mereka.

Mari kita kupas satu persatu kebimbangan yang diutarakan oleh penulis.

Komen 1: “Ka'bah yang terletak di tengah masjid Haram dan menjadi arah sholat Muslim sedunia, semakin tenggelam oleh berdirinya gedung-gedung tinggi.”

Sebagai kiblat umat Islam secara simboliknya ia tidak patut ditenggalami oleh bangunan lain yang mencabar simbol ketinggian syiar umat Islam. Bahkan di Malaysia sendiri jika kita perasan, banyak masjid dibina diatas bukit atau di tempat yang lebih tinggi dari tempat ibadat agama lain. Inikan pula kiblat umat Islam, sudah tentulah jika ia ditenggelami oleh bangunan kommersial ia menampakkan umat Islam sendiri yang lebih mengagung-agungkan dunia dari akhirat. Dan yang lebih penting ialah, Kaabah adalah kiblat umat Islam. Jika ia dipenuhi gedung-gedung komersial yang sinonim dengan dunia, bukankah secara simboliknya juga kiblat kita sudah berubah kepada kebendaan?

Komen 2:“Makkah saat ini makin penuh dengan bangunan-bangunan tinggi mulai dari hotel, pusat perbelanjaan dan toko-toko besar yang menjual produk Barat. Sebut saja kedai kopi Starbucks, Cartier and Tiffany, H&M dan Topshop.”

Apa yang juga membimbangkan umat Islam semua ialah dengan popularnya jenama dan produk-produk Barat itu, bukan saja ia mengagung-agungkan keduniaan melebihi akhirat, malah kita umat Islam dijajah minda dan ekonomi. Minda kta dijajah dengan mendewa-dewakan jenama Barat dan ekonomi kita dijajah kerana membelanjakan wang yang dikumpul seumur hidup demi menunaikan haji sebaliknya untuk memperkuatkan ekonomi Barat yang sememangnya anti-Islamik.

Komen 3: “…mempertahankan peninggalan- peninggalan bersejarah di Makkah, Madinah dan tempat-tempat lainnya di Arab Saudi.”

Ini satu lagi sebab mengapa kesucian tanah Haram perlu dipertahankan. Kita tahu Mekah adalah penting di dalam sejarah umat Islam. Dengan membina bangunan tinggi mungkin ada peninggalan sejarah Islam yang musnah samada secara sengaja atau tidak. Ingat pada zaman ini, musuh tidak perlu melancarkan bom atau roket untuk menakluki Negara Islam. Mereka hanya perlu melekakan kita dengan produk dan budaya mereka yang memuja-muja dunia. Bila kita sudah leka dengan sendirinya kita akan menerima apa saja yang mereka bawa tanpa perlu paksaan lagi. Malah cara halus ini lebih berkesan dan merbahaya kerana kita akan terus leka tanpa menyedari bahawa kita sebenarnya berada di bawah telunjuk mereka.

Strategi Barat, terutamanya Amerika, untuk menjajah umat Islam dan menguasai sumber asli hasil bumi kita tidak pernah berakhir. Kalau sebelum perang dunia kedua ia diketuai oleh British kini tugas itu dipegang oleh Amerika. Pada awalnya Negara Arab mundur dan ekonomi mereka langsung tidak bergantung kepada orang lain. Namun setelah penemuan minyak, mereka mendapat kuasa ekonomi baru. Strategi Barat untuk menindas Negara Arab berada di saat genting pada tahun 1973 apabila pihak negara-negara Arab telah bersatu dan mengenakan sekatan ekspot minyak ke Negara-negara Barat yang menyokong Israel semasa perang Arab-Israel. Pada ketika itulah setengah pemimpin Arab sedar bahawa minyak boleh digunakan sebagai senjata. Sekatan tersebut telah membuatkan harga minyak naik mendadak di Amerika dan negara Barat. Sedar dengan hakikat itu, Barat telah merangka strategi untuk menguasai Timur Tengah yang kaya dengan minyak itu dengan cara halus jika boleh. Tapi kalau tak berjaya mereka akan gunakan kekerasan seperti mana di Iraq.

Selepas peristiwa pahit itu, Barat juga mahu menggunakan minyak kepunyaan Arab itu sebagai senjata mereka. Mereka sedar bahawa Arab selalu berpuak-puak dan selalu berebut takhta dan wang. Mereka telah membuat pakatan dengan pemimpin Arab untuk “menolong” membangunkan Negara Arab yang mundur dengan membawa masuk segala bentuk kemodenan yang berorientasikan Barat. Barat berjanji mereka akan membantu Negara Arab keluar dari kemunduran dengan membawa teknologi mereka untuk membina prasarana di Negara-negara Arab. Tapi pertolongan mereka bersyarat; Negara-negara Arab mesti memberi kontrak pembinaan kepada syarikat mereka dan melaburkan semula hasil durian runtuh kenaikan harga minyak di Amerika. Maknanya walaupun Amerika terpaksa membayar harga minyak yang tinggi, mereka mendapat balik wang mereka melalui syarikat-syarikat mereka yang “membantu” membina jalan, lebuhraya, lapangan terbang, bangunan dan sebagainya. Malah mereka dapat lebih dari itu kerana pemimpin-pemimpin Arab ini “diminta” melaburkan semula wang hasil minyak mereka di New York, Wall Street, Chicago, Boston dan kemungkinan juga di Las Vegas! Sebagai balasannya pihak elit pemimpin Arab ini akan dipastikan terus memerintah Negara mereka selagi mereka sanggup melaksanakan agenda Barat itu. Dengan cara itu lama kelamaan ekonomi Negara Arab ini menjadi lebih bergantung kepada Amerika dan Negara Barat lain. Dan dengan kebergantungan ini, adalah mustahil Negara-negara Arab akan mengenakan sekatan minyak terhadap Barat kerana ekonomi Negara Arab juga akan musnah jika mereka mengambil tindakan itu.

Strategi di atas adalah penjajahan secara halus. Namun jika cara ini tidak berjaya atau dihalang oleh pemimpin Arab yang dilihat sebagai ancaman, cara kekerasan akan digunakan. Lihat saja apa yang berlaku kepada Saddam Hussein di Iraq yang dahulunya merupakan sekutu Amerika semasa Iraq memerangi Iran. Hukuman yang diterima oleh Saddam merupakan amaran kepada pemimpin Arab bahawa mereka akan menerima padah jika cuba melawan Amerika.

21/4/2007