Sedetik Bersama Sasterawan Negara
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini berakhir petang tadi di PWTC Kuala Lumpur. Sungguh ramai manusia yang rata-ratanya umat Melayu bersesak-sesak mengunjungi pondok demi pondok di dewan pameran. Mungkin anggapan aku sebelum ini yang orang kita tidak suka membaca buku meleset. Mereka datang bersama anak-anak dan isteri dengan semangat ingin menambah ilmu. Semacam ada pesta hiburan di sana. Dan memangpun ada seorang dua selebriti yang dijemput khas samada untuk mempromosi buku mereka sendiri ataupun sekadar tayang muka di depan kaunter untuk melariskan jualan. Diskaun ditawarkan untuk banyak judul buku. Hampir setiap kaunter menawarkan pelbagai hadiah dan pakej istimewa untuk menarik pelanggan.
Aku datang sendirian dengan komuter. Lokasi stesen Putra amat mudah sekali untuk aku menapak ke PWTC di Bangunan UMNO. Dan aku rasa tindakanku tepat kerana dengan kesesakan yang sebegitu teruk, kalau anak-anak aku bersama, aku mungkin terpaksa menghabiskan masa melayan kerenah mereka sahaja daripada menumpukan perhatian kepada buku dan jurujualnya.
Di kaunter Bernama aku nampak orang ramai berkerumun. Lalu perasaan ingin tahu aku membawa aku ke sana. Rupanya dengan membeli sebuah buku yang berharga RM5 sahaja pembeli diberi peluang mendapat autograf dari angkasawan kedua negara Dr Faiz. Ramai juga yang mengambil peluang bergambar dengannya. Di situ juga bahan cenderamata Radio 24 “Radio Berita Pertama Negara” dan siaran Berita Bernama di Astro dijual. Nasib baik angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar tiada bersama. Kalau tidak lagi sensasi dan sesak jadinya.
Setelah hampir 3 jam membelek-belek buku, aku melewati depan kaunter Wira Bukit Sdn Bhd. Di kerusi sofa di tengah-tengah pondok pameran, aku nampak pemiliknya sedang menyain buku-buku yang baru dibeli orang. Wajahnya memang dikenali ramai. Masakan tidak dialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang mengekalkan penampilannya sejak dari dulu. Rambut putihnya panjang ke paras bahu, janggut dan misainya dibiarkan berjuntaian. Beliau selesa berbaju-T, berseluar slack dan berselipar jepun. Kali pertama aku melihatnya ialah lebih kurang 15 tahun yang lalu sewaktu beliau menunggu bas mini wilayah di stesen Bangkok Bank di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Lima belas tahun lepas juga beliau berpakaian begitu. Statusnya sebagai seorang sasterawan negara dan gelaran Datuk tidak langsung mengubah zahirnya. Beliau tetap dengan penampilannya yang santai. Bagiku itulah uniknya A. Samad Said selain kata-kata puitis yang lunak menghiasi karya-karya sasteranya. Sebelum aku meminta beliau mengautograf buku yang baru aku beli, sempat aku berbisik dengan jurujualnya apa panggilan yang sesuai sebelum aku mula bercakap dengan orang besar sastera negara itu. Panggil saja Pak Samad jawab jurujual tersebut. Lalu aku terus mengambil tempat di hujung sofa di sebelah Pak Samad dan memintanya menyain buku nipis berjudul “Ilham Di Tepi Tasik”, sebuah koleksi esei sastera Pak Samad yang diterbitkan pada tahun 2006 dan kini dalam cetakan kedua.
Mungkin generasi muda kini lebih menggilai novel cinta remaja. Pak Samad sendiri pernah melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan Kementerian Pendidikan yang memilih novel ringan untuk dijadikan bahan rujukan sastera di sekolah dan menyisihkan karya-karya agung sasterawan negara. Kekecewaannya itu diluahkan dengan tidak mahu lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya itu. Walaupun beliau tidak mahu lagi dipanggil Sasterawan Negara, namun di hati peminat sastera beliau adalah sasterawan negara yang tulen.
Pada usia 73 tahun pena sasteranya tidak pernah tumpul dan karyanya yang merentasi beberapa dekad masih segar untuk dinikmati generasi muda. Beliau telah menghambakan seluruh hidupnya untuk menyuburkan sastera Melayu di rantau ini. Aku merasakan di kaunter jualan petang tadi aku bukan sahaja membeli sebuah buku, malah memetik salah satu dari bunga sastera Pak Samad. Semuga ilham Pak Samad akan terus menjelmakan karya-karya tinggi untuk dinikmati pencinta sastera.
13-4-2008
No comments:
Post a Comment