Saturday, June 23, 2007

Iklan Makanan Ringan di TV diharamkan

Saya amat mengalu-alukan keputusan kabinet untuk mengharamkan sepenuhnya iklan makanan segera seperti Maggi, Mamee, KFC, McD dan yang sejenis dengannya di kaca TV. Sebagaimana iklan rokok dan arak sebelumnya, saya berpendapat ianya memang keputusan yang tepat. Kepentingan kesihatan rakyat Malaysia perlu mengatasi keuntungan syarikat-syarikat TV dan juga syarikat makanan ringan berkenaan. Statistik kementerian kesihatan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan yang berkaitan dengan pemakanan kurang sihat di kalangan golongan muda di negara ini. Malah saya berharap kerajaan bertindak lebih tegas lagi dengan menaikkan cukai terhadap makanan tersebut untuk membendung gejala peningkatan jualan makanan segera yang merosakkan kesihatan itu.

Suatu ketika dahulu kita lihat bahawa syarikat rokok menguasai stadium sukan kita dengan menaja acara-acara sukan besar. Kebimbangan bahawa sukan Malaysia akan merosot disebabkan kehilangan sumber kewangan nampaknya tidak berasas kerana sukan kita memang sentiasa di tempat tercorot pun!

Namun usaha untuk menggalakkan orang Malaysia mengamalkan pemakanan sihat tidak perlu terhenti setakat pengharaman iklan makanan segera sahaja. Budaya makan di luar di mana kita dihidangkan dengan serbuk perisa MSG, garam dan gula yang berlebihan juga perlu dikikis.


23-6-2007

No comments: