Stories from my Kitchen 3 - "Sedekad di bumi ini"
Bulan ini genap sedekad aku menetap di sini. Tahun ini juga genap dua abad bandar ini ditubuhkan. Pada mulanya aku hanya mengenali Kajang kerana kemasyhurannya sebagai pekan sate nombor satu di Malaysia. Ia juga pekan yang berhampiran dengan UKM, salah sebuah universiti awam yang unggul di Malaysia. Persekitarannya dikelilingi bukit-bukit sederhana besar di kawasan Hulu Langat yang menjadi kawasan tadahan hujan dan tasik-tasik takungan air di Semenyih. Lokasinya bersebelahan dengan Bandar Baru Bangi, sebuah kawasan elit dan bandar baru yang didiami ahli akademik, profesional dan usahawan Melayu baru. Anak-anak Melayu baru hasil didikan DEB seperti aku.
Bermula dengan hamparan estet-estet getah dan kelapa sawit, tuntutan pembangunan menggantikannya dengan deretan rumah-rumah pangsa dan teres. Bukit-bukit dipotong, hutan ditebang dan pokok-pokok hijau dilupuskan. Ramai pemilik tanah menjadi kaya raya dengan nikmat pembangunan ini dan lebih ramai lagi yang terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan satu lot tanah tapak rumah mereka.
Pada lewat 1990an tiba pula bandar pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya. Ramai kakitangan awam bekerja di sana. Lalu ada di antara mereka yang tinggal di bandar Kajang ini samada menyewa ataupun membeli kediaman dengan pinjaman kakitangan kerajaan. Bandar ini menjadi bertambah pesat membangun. Bangunan tinggi dan kondominium mewah tumbuh dicelah-celah lereng bukit yang diratakan. Kos hidup mula naik, harga rumah melambung dan lalu lintas juga menjadi sesak. Lalu pada tahun 2004 lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) mula dibuka untuk menyuraikan kesesakan di pusat bandar.
Pembangunan melangkah begitu cepat di bandar ini berbeza dengan perubahan di kampung. Dalam sedekad aku di sini wajah bandar ini berubah dengan mendadak sekali. Gedung-gedung besar tumbuh di sana-sini, ada yang subur maju dan ada juga yang akhirnya ditinggalkan kosong kerana lokasi yang kurang sesuai. Segala kemudahan awam terdapat di sini. Masjid, perpustakaan, taman permainan, pejabat-pejabat kerajaan dan pusat-pusat hiburan. Lebuhraya baru menghubungkannya dengan Putrajaya. Kini Putrajaya hanya 15 minit dari rumahku dan ia adalah destinasi utama kami bila saudara-mara dari kampung datang berkunjung.
Di Bandar Baru Bangi, sebuah bandar baru yang terletak di kawasan Kajang, bertumpu pusat-pusat latihan dan penyelidikan bagi bank dan agensi-agensi kerajaan. Kedudukannya di pinggir bandaraya Kuala Lumpur menjadikannya lokasi yang ideal untuk tujuan latihan dan kajian. Di sekitar kawasan ini juga terdapat pusat pengajian tinggi awam dan swasta. UPM, Uniten, UKM, Universiti Multimedia, Unitar, KLUIC, MFI, Limkokwing University dan Nottingham University (Kampus Malaysia) semuanya berada di kawasan berdekatan. Di kawasan ini mungkin terdapat tumpuan bijak pandai berpangkat PhD paling padat di Malaysia ini.
Perpindahanku ke sini pada pertengahan tahun 1997 adalah kerana mengikut lokasi baru syarikat tempatku berkhidmat. Pada awalnya aku menyewa rumah teres bersama dengan beberapa orang kawan seangkatan yang sama-sama belajar di universiti. Namun pada lewat 90an, seorang demi seorang dari kami melangkah meninggalkan zaman bujang dan memulakan hidup baru dengan pasangan masing-masing. Aku sendiri berbuat demikian pada awal tahun 1998 dan menyewa rumah sendiri. Namun aku masih berada di kawasan ini kerana ia berdekatan dengan pejabatku dan juga tempat kerja isteriku. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk membeli rumah sendiri di kawasan ini.
Selepas sekian lama dengan syarikat lamaku akhirnya aku meninggalkan pejabatku di Bangi untuk berhijrah ke syarikat baru. Namun tempat tinggalku tetap di Kajang kerana aku telah memiliki rumah sendiri di sini. Isteriku juga bekerja di bandar ini. Anak-anakku dilahirkan di sini dan bersekolah berdekatan dengan kawasan perumahan kami.
Memang aku akui keseronokan tinggal di kampung tidak diperolehi di sini. Di kampung tiada pagar dan tembok konkrit memisahkan kita. Di sana jiran adalah saudara mara. Di sini kita tidak mahu diganggu ataupun mengganggu. Aku dengan urusanku dan kau dengan masalah kau. Sekali-sekala kita bertanya khabar, itupun hanya sekadar di pintu pagar. Bukan hanya tembok batu yang memisahkan kita, tapi mungkin juga jiran kita berlainan bangsa, agama dan adat resam dengan kita. Walau apapun kita tidak akan mendapat segala-galanya. Kita hanya mampu membuat pilihan selepas menghitung segala kebaikan dan sanggup menerima sedikit kekurangan.
Aku masih ingat arwah ibu-bapaku juga merantau untuk mencari sesuap nasi. Di mana ada pokok getah untuk ditoreh di situ mereka berhijrah untuk membesarkan anak-anak. Namun kedua-duanya pulang ke kampung asal mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sekali-sekala aku akan pulang ke kampung untuk menjenguk sanak-saudara. Bila tiba hari mulia Insya-Allah jika ada peluang aku akan cuba bersama mereka. Namun ibu-bapaku sudah tiada. Kunjunganku ke kampung kini tidak istimewa seperti semasa mereka masih ada. Selepas sedekad, tempat yang dulunya asing kini sudah menjadi taman mainan anak-anakku. Di Kajang ini juga tempatku mencari rezeki dan membesarkan mereka. Aku sedar bahawa aku telah bertapak kukuh di sini. Di sini aku mula berhijrah dan di sini aku ditakdirkan menetap. Mungkin di sini aku akan bersara dan menghabiskan hari tua. Suatu masa nanti mungkin di sini juga hidupku akan menemui noktahnya.
Kajang
22 Julai 2007.